
Untuk post yang pertama ni, saya nak kongsi pengalaman outing bersama group Fotografi Jalanan Malaysia/FJM pada 31 Ogos lalu. Page FB FJM ni terjumpa secara tak sengaja di Facebook. Tengok macam menarik saja, jadi saya terus klik join. Untuk pengetahuan, event outing Sambutan Kemerdekaan ni merupakan anjuran FJM sebagai outing bulanan para ahli. Sambil beraktiviti, sambil-sambil tu dapat berkenalan dengan ahli FJM yang kongsi sama minat. Memang seronok.

Terus-terang sebelum ni memang saya tak pernah join mana-mana group fotografi, cuma keluar sendiri cuba-cuba buat street photography. Tapi cuma baru dua tiga kali keluar ke KL, lama-kelamaan seolah hilang motivasi. Dan gambar yang dapat pun tak lah street mana. Dengan kesibukan bekerja dan tiada geng nak berbalas idea, maka tidak lagi dibuat pergi seorang diri ambil gambar. Tapi Alhamdulillah hasil dari dua tiga outing tu dapat lah dibuat modal sikit untuk mulakan Instagram shadesofqaeds.

Kenapa genre street photography (“SP”) yang menjadi pilihan, sebab genre ni saja yang senang nak dapat subjek free dengan sekadar modal tiket LRT dan bas. Jimat! Sebab kalau nak buat model portrait, nak kena arrange session bagai. Nak ambil gambar makro, tak punya lens makro. Nak shoot gambar kucing, kucing ada seekor je. Dan lagipun, dengan SP ni nampak hasilnya hampir lebih kurang sama dengan photojournalism (tak terhad kepada street photo saja), yang dipelajari di UiTM dulu. Jadi melalui group outing yang pertama kali ni, saya bakal mengetahui sendiri macam mana perit jerih untuk dapatkan sekeping gambar yang menceritakan kisah-kisah di jalanan.
Perasaan memang nervous masa sampai jam 7.15 pagi depan Restoran Yusoff Zakhir (berhadapan Central Market). Tengok otai-otai semua dah lepak minum sambil bersembang. Ha, macam mana saya boleh tahu, sebab boleh nampak di kalangan yang duduk semeja tu ada yang pakai t-shirt group FJM, dan ada kamera di atas meja (kamera kecil-kecil, sesuai untuk street photo barangkali).
Kerana terlalu segan, saya pun tarik lah kerusi duduk seorang diri di meja yang kosong. Dan tak lama kemudian saudara senior meja sebelah senyum dan tegur, mungkin kerana ternampak beg sandang saya. Okay, lega sikit hati. “Ni group FJM ke?” tanya saya. Dengan mesra beliau mengiyakan dan ajak duduk semeja.
Jam 8 pagi kami bergerak dalam group kecil 7-8 orang, ditemani beberapa senior. Ada yang dah berlepas lebih awal ke arah Dataran Merdeka, mungkin nak bersama dengan pengunjung perarakan. Seorang senior dalam group kami menyarankan, “Kita catch up dengan peserta perarakan di akhir perjalanan, di kawasan Sogo dan Kompleks Pertama”. Di sana akan jumpa pelbagai emosi setelah semua kepenatan berkawad hampir tiga kilometer. Saya setuju kerana pasti ramai penggemar fotografi akan berada di kawasan dataran, jadi cukuplah saya ikuti atmosphere parade di #dataranmerdeka dan #merdeka2016 dan lokasi Dataran Merdeka di Instagram.
Kami bermula di Leboh Pasar Besar, di tengah-tengah ramai pengunjung yang baru tiba, berbondong-bondong menuju ke arah Jalan Raja. Di depan Loke Yew Building, Skuadron Istiadat Berkuda dari Kor Armor Diraja ATM sedang bersiap sedia dengan kuda masing-masing. First time dapat tengok kuda sebegini dekat memang rasa puas hati. New kind of experience.
Tengah asyik leka ambil gambar kuda, nasib baik tersedar group dah berpecah dan senior dah pun berpatah balik ke arah Medan Pasar. Tanpa fikir panjang saya pun berlari menurut dan kami menyusur tepi Sungai Klang, HSBC ke arah Jalan Masjid India. Perlahan-lahan kami berjalan, saya hanya banyak melihat Kuala Lumpur dalam masa dan ketika yang tidak pernah saya saksikan sebelum ini. Orang ramai – keluarga, ibu ayah, anak-anak, rakan sekumpulan semuanya menuju ke arah Dataran Merdeka. Yang pasti, saya menyesal tak pernah turut serta setiap kali ada sambutan sebegini kerana suasana adalah luarbiasa meriah. Di stesen Masjid Jamek, riuh bunyi trompet orang tengok bola di stadium yang nyaring dan sorakan segenap ramai manusia yang penuh di sepanjang Jalan Tun Perak. Langsung lupa nak ambil video sebab memang overwhelmed sangat.
Dari Jalan Masjid India pula, kami menyusur lorong keluar ke Jalan TAR, lalu depan Kamdar dan membelok di Sogo ke arah Jalan Raja Laut. Kedua belah jalan sudah pun dipenuhi orang tapi saya sempat menyelit untuk cuba dapatkan angle. Agak lama juga saya di sini, asyik mengambil gambar peserta perarakan dengan pakaian rasmi yang cukup gah. Teringat pesan senior, “Jangan lebih 10 minit di satu spot”, tapi saya dah duduk lebih 15 minit. Haha. Pusing tengok, semua dah hilang. Di kalangan pengunjung yang ramai memang tak dapat nak dicari semula geng FJM dan saya putuskan untuk terus ke hilir perarakan, mencari penghujungnya.
Di belakang bangunan MARA, kami bertemu semula tapi hanya sekejap saja kerana terlalu seronok sangat saya mengambil gambar peserta perarakan. Iyalah, baru ini pertama kali dapat saya saksikan suasana parade. To me this moment was precious. Dapat lah sedikit gambar aksi peserta perarakan dari agensi, pancaragam sekolah dan pelbagai jabatan kerajaan di mana perjalanan mereka berakhir di sini.
Kemudian tiba perarakan pasukan beruniform pertahanan negara. This is my most favourite part sebab arwah ayah merupakan bekas tentera, dan kami pula belum pernah menyaksikan langsung perarakan seperti ni semasa arwah masih ada. Memang gila excited sebab dapat tengok anggota ATM dari pelbagai unit secara up close and personal. Di hadapan bangunan LPPKN, kawalan kurang ketat oleh anggota keselamatan dan pengunjung pun tak ramai sampai ke sini. Jadi saya ambil kesempatan mengambil gambar jarak sedekat yang mungkin, cuma tetap tak dapat nak berdekat sangat sebab diusha rapat anggota komando yang berkawal di bahagian belakang setiap unit uniform.

Dari hulu perarakan hingga ke kuala, perjalanan foto jalanan saya tamat di persimpangan Jalan Sultan Ismail. Check Google Maps, tak sedar langsung yang saya telah berjalan sejauh 2.5 km hanya untuk mengambil gambar. Seingat saya rasanya belum pernah lagi saya berjalan sejauh itu untuk apa tujuan sekali pun dalam tempoh 10 tahun lepas. Dengan berakhirnya perarakan, barulah mula terasa penatnya dan matahari yang pagi tadi lewat naik dah mula memancar terik. Tiba-tiba baru teringat jauhnya jarak untuk kembali ke tempat berkumpul di Central Market Annexe jam 12 tengahari. Maka jawabnya naik LRT sajalah saya di stesen Sultan Ismail ke Masjid Jamek.
Di kedai mamak CM Annexe, saya sempat lepak makan minum dengan group sebelum saya mengundurkan diri. Letih memang letih, tapi letih yang cukup bermakna. Selepas bersalam dengan semua, saya tekad untuk join next outing bulanan Fotografi Jalanan Malaysia yang seterusnya, dengan izin-Nya. InsyaAllah.